Thursday, February 26, 2009

Persiapkan Iman Yang Teguh ; Akhiri Perjuangan Belakang Tabir ; Dakwah Perlukan Petugas Sepenuh Masa

Salam ISLAH,


Iman adalah senjata paling utama bagi seorang daie pembela agama dalam perjalanannya menggalas amanah dakwah ilallah di atas muka bumi ini. Untuk berdepan dengan segala cabaran hidup, persiapan keimanan yang teguh adalah perkara utama yang harus diberi perhatian oleh setiap pendokong cita-cita Islam.

Setiap daie wajib meyakini bahawa ajal maut, manafaat dan mudharat, hidup mati, rezeki segalanya telah ditentukan serta berada di dalam kekuasaan Allah SWT. Sekiranya berhimpun sekalian manusia untuk memberi manafaat kepadanya atau mendatangkan mudharat kepadanya, nescaya tidak akan terjadi melainkan dengan izin Allah SWT jua.


Firman Allah SWT :


“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal". At Taubah : 51


Dengan keyakinan inilah setiap mukmin pejuang agama bergerak di muka bumi ini menyebarkan agama Allah tanpa rasa gerun dan takut kepada sesiapapun dari kalangan makhluk. Hanya Allah tempat pergantungan dan kepada keredhaan Allah jua tempat tujuan. Kerana itu jualah kita melihat keberanian yang sangat luar biasa terbit dari peribadi setiap daie dalam menyampaikan agama Allah SWT. Meraka tidak pernah gentar kepada mana-mana pemerintah zalim dan tidak memperdulikan celaan orang yang mencela.


Ketahuilah bahawa bilamana kita berada di dalam saf perjuangan menegakkan agama Allah, maka itu sebenarnya adalah kerana pilihan Allah SWT jua. Allah yang memberikan kekuatan untuk kita berjalan di atas jalan ini yang penuh dengan onak dan duri. Ramai yang tidak berupaya untuk berada di medan yang penuh pancaroba ini. Ramai yang memilih laluan selesa tanpa bahaya dan fitnah yang merintangi. Walau berlatar belakang pendidikan agama sekalipun, ia bukan jaminan untuk menjamin keberadaan di atas jalan dakwah. Bahkan kita melihat tanpa prejudis bahawa ramai graduan agama yang memilih untuk berada di medan yang lebih selesa dari bergabung diri dengan perjuangan di medan sukar ini. Ramai yang memilih untuk berada di belakang tabir dari berada di saf hadapan. Kata mereka “Ini pun masih dikira sumbangan kami kepada jamaah dan perjuangan, walau kami tidak terlibat secara langsung dengan jamaah, tapi kami masih bersama jamaah”.


Inilah yang dikatakan masuk bakul angkat sendiri. Berjuang tanpa mengikut kehendak jamaah. Ramai yang mahu terlibat dengan NGO tapi tidak mahu terlibat dengan dakwah secara langsung melalui bergerak bersama jamaah. Bahkan ada yang mewujudkan jamaah dalam jamaah. Semuanya kerana mengikut nafsu yang mahu bergerak dengan selesa dan selamat.


Bermuhasabahlah kita bersama, bahawa tiada jalan dakwah tanpa ujian dan bencana fitnah manusia. Jangan sampai kita tersalah atau tersilap dan lebih buruk lagi jika terpedaya. Mencipta jalan sendiri sedangkan jalan ini telah terbentang sekian lama dengan janji syurga dihujungnya. Syaratnya sabar, ikhlas dan istiqamah. Sedikit benar yang bersyukur di kalangan hamba Allah.


Amat menyedihkan dengan kenyataan sesetengah sahabat yang mengatakan bahawa belum tentu mereka yang berada di saf hadapan mempunyai niat yang ikhlas dalam perjuangan. Kekadang, mereka yang di sebalik tabir masuk syurga dahulu sebelum mereka kerana niat yang ikhlas. Pening juga mahu memberikan jawapan kepada puak ini kerana meraka juga memahami hujjah syara’.


Apa yang kita tahu, bahawa keikhlasan itu ada pembuktiannya. Bila zaman makkah berlalu dengan tarbiyyah imaniyah yang hebat, menjelma pula zaman madinah yang penuh dengan ujian terhadap keimanan di dada. Mereka yang tidak keluar ke medan Tabuk telah dipulau oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Rasulullah tidak menerima sikap mereka yang memberikan alasan untuk tidak keluar ke medan jihad.


Firman Allah SWT dalam surah At Taubah ayat 45 :


“Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya.”


Kefahaman dari ayat di atas ialah, iman ‘belakang tabir’ tidak boleh diterima selama-lamanya dan wajib berakhir satu ketika dengan keluar berjihad di saf hadapan. Zaman berteori ada penamatnya. Tidak boleh selamanya berteori, wajib dipraktikkan segala ilmu yang ada untuk perjuangan di saf hadapan. Bahkan Rasulullah SAW sentiasa berada di saf hadapan perjuangan. Benar, mereka yang berjuang di medan selesa dan selamat itu tetap beriman dengan Rasulullah, tetapi tidak mencintai Baginda. Jika benar mencintai Rasulullah, tahanlah hati dan jasad untuk dilukai demi perjuangan yang dilagang oleh Baginda. Sebenarnya kamu tidak beriman dengan Allah dan hari Akhirat, itu jawapan dalam ayat di atas.



Monday, February 23, 2009

Memelihara Ketulenan Perjuangan - al Fadhil Ustaz Hj Nasrudin Hasan Tantawi

Perjuangan tidak hanya berasaskan semangat malah penglibatan kita bersama PAS sebagai sebuah parti politik juga bukan kerana memenuhi tuntutan demokrasi .


Sebaliknya penglibatan [ intima' ] kita adalah berpaksi kepada Iman dan Islam .


Apa yang kita mahu tegakkan ialah Iman dan apa yang kita mahu daulatkan ialah Islam .


Inilah cita - cita murni yang sekali - kali tidak boleh kita benarkan ianya dipengaruhi oleh nafsu dan dikuasai oleh aqal yang terpisah dari wahyu . Justeru cita - cita ini terlalu suci untuk dipengaruhi selain Iman yang tidak berbelah bahagi dan Islam sebagai risalah as samawi .


Malang sungguh apabila perjuangan ini dicampur aduk dengan desahan nafsu yang memburu ruang untuk menyerlah populariti dan publisiti malah membina indentiti diri tanpa memperduli ketulenan manhaj rabbani .

Barangkali kita akan ketemui apa yang diburu biarpun hanya mengatas namakan perjuangan Islam ini .


Persoalannya , berbaloikah perjudian itu ?


Siang malam bergelut menghadapi ancaman . Saban waktu pula meredah rintangan . Bersama perjuangan ini dengan mengambil pelbagai risiko yang mungkin membinasakan diri , hanya semata - mata untuk menggapai cita - cita peribadi yang berpaksi kepuasan naluri .


Ketulenan Perjuangan


Perjuangan yang disertai ini adalah untuk sebuah kembara mencari kedaulatan buat Islam . Laksana pengembaraan Nabi saw bersama para sahabatnya membelah alam jahiliyyah memacu hijrah membina sebuah daulah . Segala rintangan dan halangan dihadapi dengan tabah . Sengsara dan deritanya didepani dengan sabar . Perit jerih atas segalanya menjadi ibadah yang ditekuni tanpa mengalah .


Malang 1001 kali malang andai perjuangan ini tidak ubah seperti batu loncatan untuk memenuhi cita - cita politik . Mencari pengaruh , jawatan dan gelaran . Sukar kita memelihara ketulenan perjuangan yang didokong ini jika kita gagal membebaskan diri sepenuhnya dari pengaruh nafsu dan kepentingan duniawi .

Ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara dari anasir yang merosakkannya . Semua anggota jamaah mesti peka dalam menilai antara manhaj perjuangan yang tulen berasaskan sirah perjalanan nabi kita Muhammad saw atau manhaj perjuangan palsu yang meniti di atas jalur kepentingan politik dan peribadi .


Ketulenan manhaj perjuangan dapat dikenal pasti melalui pengambilan skima amal tarbawi yang mantap melalui silibus am tinggalan baginda Rasul saw. dan diperkemas kini oleh ulama' al a'milin al mujahidin yang memimpin ummah .


Satu pencabulan terhadap manhaj perjuangan andai ia dipimpin atau digerakkan oleh individu atau mereka yang bukan sahaja jahil terhadap manhaj perjuangan an nabawi tetapi juga bersikap negatif terhadap amal tarbawi .


Lebih malang apabila perjuangan ini dipacu berlandaskan teori politik untuk mencapai matlamat tanpa berteraskan akhlak Islami .


Demi memburu kemenangan dalam pilihanraya sebagai contoh , walaupun tiada siapa menafikan kemenangan itu penting namun sekali - kali kita tidak boleh meminggirkan akhlak Islami dalam percaturan politik .

Tentu sahaja perjuangan Islam tidak sama dengan gerakan nasionalis atau lainya yang tidak memiliki kamus dosa dan pahala dalam teori politik mahupun perjuangan mereka . Justeru itu kita jangan terjebak atau terpedaya dengan cara dan gaya mereka berpolitik .


Politik Islam kaya dengan akhlak , moral dan prinsip yang tidak memungkin ianya di beli apalagi dirasuah lantaran paksinya ialah Iman dan Islam .


Ketulenan manhaj perjuangan jua tidaklah dinilai semata - mata dipentas politik pilihanraya tetapi juga melihat bagaimana kita membuat keputusan jamaah , bagaimana kita memimpin jamaah dan menangani ahli , bagaimana kita beraksi di medan dakwah , bagaimana kita mendepani musuh , bagaimana kita bertahaaluf dan sebagainya .

Pasti sahaja adab dan akhlak berjamaah seperti syura , dengar dan taat , thiqah , istiqamah , wala' , ukhuwwah , ikhlas dan lainnya mewarnai diri , sikap dan aksi kita sebagai seorang pejuang .


Kita adalah Sebuah Gerakan Islam . Ini satu realiti yang mesti direalisasikan terutama kepada mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin jamaah walau dimana posisinya . Bahkan apa pun kepentingan yang kita mahu capai dalam strategi berpolitik dan bergerak memimpin perjuangan ini , kita tidak boleh mencairkan nilai atau standard value bagi sebuah gerakan Islam .


Strategi itu benar dan wajar sebagaimana berpolitik itu adalah hak dan amanah perjuangan . Tetapi saya tegaskan sekali lagi , ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara . Jangan kita abaikan ketulenannya semata - mata mahu melihat strategi kita berjaya dan politik kita menang .


Ingat ! menang tidak bererti benar dan kalah tidak bermakna salah . Justeru itu awas jangan palsukan manhaj perjuangan suci ini .Pemalsuan manhaj perjuangan adalah satu jenayah !


Jangan Banyak Berdebat ; Wasiat Ke 4 Al Banna 'alaihi rahmatulLah

Janganlah memperbanyak perdebatan dalam berbagai bidang pembicaraan kecuali dalam hal yang penting. Pertengkaran ini semata-mata tak akan mendatangkan kebaikan, demikian wasiat Hasan al-Banna.

Sememangnya, perdebatan lebih banyak mengundang kehancuran kerana pada realiti hari ini, umat Islam terdedah dengan sifat angkuh, kurang ilmu serta tidak menghormati kebenaran. Mereka lebih suka berdebat sekadar menonjol-nonjolkan kehebatan diri.

Sedangkan, yang jujur berdebat mengenai hal-hal dasar sangat kurang. Dalam pada itu, kita lihat ramai sekali yang suka berdebat akan memilih tajuk-tajuk yang ringan, bersifat rantingan dan ini tentunya membuang masa.

Sesetengah isu itu sudah lama didebatkan dan ia cuma diulang semula semata-mata mahu meraih publisiti, menonjol-nonjolkan kehebatan diri. Sudah tentulah hal ini membazirkan masa dan pendirian Islam berhubung masa sangat jelas.

Demi masa, sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian. Demikian maksud ayat al-Quran yang ringkas dan padat dengan falsafah itu.

Mengundang lebih banyak pertengkaran :

Sebenarnya bukanlah Hasan al-Banna tidak menggalakkan debat. Tetapi hampir kesemua debat ini lebih banyak mengundang parah dan bahaya perpecahan. Sebabnya, pihak yang berdebat itu tidak berbahas dengan ikhlas, berhikmah, beradab dan intelektual.

Mereka mungkin tak menjaga lidahnya daripada memaki hamun, mengeluarkan kata-kata kesat dan semua ini akan menyinggung perasaan pihak-pihak tertentu dan akhirnya akan menimbulkan pertengkaran yang berakhir dengan perpecahan.

Apabila berlaku lebih banyak perpecahan, maka yang untungnya adalah golongan kuffar yang sentiasa mengintai kelemahan dan meneropong pekung dalaman umat Islam sendiri. Dan, retak-retak perpecahan itulah yang melambatkan kemenangan dakwah Islam.

Hadis yang masyhur telah menyebutkan bahawa umat Islam ini terpecah kepada 73 puak. "Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 golongan dan umatku terpecah kepada 73 golongan. Semua mereka masuk neraka kecuali satu golongan yang selamat." Sahabat bertanya: "Siapakah yang selamat itu ya Rasulullah?" Rasulullah bersabda: "Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan jalan hidup para sahabatku." (at-Tirmidzi)

Maka, perpecahan ini disebabkan oleh pemikiran berbeza. Jika mereka berjuang mencari kebenaran dengan kejujuran dan keikhlasan, bertujuan ingin berpandukan jalan hidup dan pemikiran Rasulullah serta para sahabat baginda, maka kemungkinan penyatuan bolehlah dilakukan semula.

Cabaran umat Islam makin berat:

Sebetulnya, cabaran umat Islam memang berat dan mereka mestilah cuba mengurangkan ketegangan daripada sudut emosi dan pemikiran.

Suatu masa dahulu, umat Yahudi terancam oleh Roman dan mereka telah diperhambakan oleh bangsa Mesir. Maka, dengan ancaman ini, termasuk campuraduk ajaran para pendita yang tidak bertanggungjawabm mereka terpecah kepada 71 buah golongan.

Umat Kristian turut menerima tempias jarum-jarum Yahudi. Maulana Jalaludin Ar-Rumi lewat kitab Matsnawi menulis bagaimana satu rencana disusun dengan niat mengelirukan aqidah asal Nasrani hingga pada akhirnya mereka berubah menjadi Kristian.

Maka bermula saat itu hingga era kegelapan Eropah, Kristian dan Yahudi saling sengketa sesama mereka. Akhirnya, Islam tiba di celah-celah sengketa itu. Maka, serangan Yahudi dan Kristian ke atas Islam menyebabkan ancaman ke atas Islam bertambah berat.

Ini kerana, umat Islam dikepung pemikiran mereka dan maklumat latar hidup mereka dimonopoli para penjajah yang ada pertalian erat dengan Yahudi dan Kristian.

Maka, umat Islam yang sepatutnya memikul amanah sebagai umat pendakwah agama ini ke atas umat lain telah kalah dengan ujian pemikiran kerana sering bersengketa sesama sendiri, dalam mempertarung idea antara mazhab.

Alangkah baiknya, jika mereka mencuba bidang lain, meneroka bidang lain seperti usaha mengkaji agama-agama lain dan cuba mengheret perhatian penganut agama itu kepada Islam. Maka, debat-debat yang seperti inilah yang mungkin sesuai dilaksanakan.

Debat antara agama atau debat dalam agama?:

Di akhir usia dunia hari ini, umat Islam sepatutnya membuat keputusan dengan bijaksana; adakah mereka mahu habiskan masa dengan bertarung idea sesama mazhab dalam Islam, atau menghabiskan waktu dengan bertarung idea bersama penganut agama lain?

Bertarung sesama sendiri, walaupun berlainan mazhab tidak ke mana-mana kerana akhir pada debat itu, kita sendiri mengaku bahawa kita sama-sama menganut Islam yang benar. Maka, tidak berbaloi untuk didebatkan lagi melainkan sekadar memuaskan hati.

Dan hal inilah yang mungkin membuang masa, menurut pendapat Hasan al-Banna. Tapi, jika kita mahu manfaatkan masa untuk mengkaji perbandingan antara agama agar dengan itu penganut agama lain dapat menyertai Islam sebagai agama universal ini, maka hal itu tentulah tidak membuang waktu.

Sekurang-kurangnya, jika tiada yang menganut Islam selepas debat antara agama-agama itu, setidak-tidaknya kita berjaya membuktikan bahawa Islam adalah agama Tauhid yang masih mempertahan kesucian pengabdiannya berbanding agama samawi yang lain.

Ringkasnya, berdebat dan bertengkar tentang masalah dalam agama Islam itu perlu kita kurangkan kerana ia banyak mengundang keburukan dna perpecahan, sebaliknya debat antara agama samawi lebih berfaedah kerana lebih banyak membawa kebaikan kerana ia termasuk dalam usaha menerangkan kedudukan Islam yang sememangnya tinggi.

sumber : harakahdaily.net - fahri abdullah al masri


Wasiat Asy Syahid Imam Hassal Al Banna Yang Ke 3 ;Berusahalah Untuk Bertutur Dalam Bahasa Arab Yang Betul

Berusahalah seberapa daya upaya untuk bertutur dalam Bahasa Arab yang betul. Hasan al-Banna.

Asy-Syahid Imam Hasan al-Banna dalam wasiatnya yang ketiga meminta kita dapat mempelajari dan berusaha keras memahami bahasa Arab. Kenapakah pentingnya umat Islam memahami bahasa Arab dengan fasih itu?

Berikut, kami paparkan kepentingan bahasa Arab sebagai yang disebutkan dalam al-Quran.

Ar-Ra'du
[37] Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau peroleh dari Allah sesuatupun yang dapat mengawal dan memberi perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini).

An-Nahl
[103] Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa mereka yang musyrik itu berkata: " Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia". (Padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al- Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata.

Taha
[113] Dan demikianlah Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa Arab, dan kami telah terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya mereka (umat manusia seluruhnya) bertaqwa, atau mereka mendapat daripadanya sesuatu peringatan dari faedah mereka.

Asy-Syu'araa'
[195] (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.

Az-Zumar
[27] Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran ini, supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran. [28] laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.

Fussilat
[1] Haa, Miim [2] Turunnya Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. [3] Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.

Asy-Syuura
[7] Dan sebagaimana Kami tetapkan engkau hanya penyampai, Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) "Ummul-Qura" dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya, serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) - yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu) sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk neraka.

Az-Zukhruf
[1] Haa, Miim. [2] Demi Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran. [3] Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.

Al-Ahqaaf
[12] (Bagaimana mereka tergamak mengatakan Al-Quran ini rekaan dusta yang telah lama?) Pada hal telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya); dan Al-Quran pula sebuah Kitab - yang mengesahkan kebenaran (kitab-kitab yang telah lalu), - diturunkan dalam bahasa Arab untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim, dan berita gembira bagi orangorang yang berbuat kebaikan.

Yusuf
[1] Alif, Laam, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran. [2] Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.

sumber ; harakahdaily.net


Wednesday, February 18, 2009

Wasiat Ke 2 Imam Asy Syahid Hassan Al Banna - Bacalah Al Quran , Jangan Buang Masa!

"Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku atau pergilah mendengar perkara-perkara yang baik atau amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dengan hal-hal yang tidak berfaedah." Wasiat kedua Imam Hasan al-Banna.

Program tarbiyyah kedua yang terjelma melalui wasiat Hasan al-Banna ialah perihal mempertingkat daya faham umat Islam melalui bacaan al-Quran, membaca buku-buku, mendengar ceramah agama, mengamalkan zikrullah.

Pendek kata, Imam Hasan al-Banna tidak mahu anggota ikhwan atau umat Islam itu akan terbuang waktunya walau sedikit pun dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Di dalam surah al-Asr, disebutkan mengenai kerugian yang dikaitkan dengan masa. Pada asalnya, semua manusia itu hidup sentiasa dalam kerugian.

[1] Demi Masa!; [2] Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian; [3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Tetapi, antara mereka itu, ada beberapa golongan yang semakin berkurangan kerugiannya dengan sebab amalan dan kepercayaan mereka itu.

Pertamanya, mereka yang beriman, yakin dan percaya kepada Allah, kitab-kitabNya, nabi dan malaikat serta kewujudan akhirat. Sesiapa yang termasuk dalam golongan ini, maka mereka telah terlepas daripada belenggu kerugian yang pertama.

Kedua, mereka yang beramal soleh, membuat kebajikan, membantu meringankan beban, membuang kesusahan orang-orang yang memerlukan bantuan dan sebagainya.

Ketiga, mereka yang saling berwasiat atau berdakwah atas nama kebenaran.

Keempat, mereka yang saling berwasiat atau berdakwah dengan penuh kesabaran.

Tetapi, awal kepada segala puncak kesedaran ini bermula apabila seseorang Muslim itu mula memahami makna yang tersembunyi dan terselit di dalam al-Quran.

Sesudah al-Quran menjadi kunci kepada pintu kesedaran seseorang Muslim itu, Hasan al-Banna berpesan kepada kita supaya kerap membaca buku-buku. Sudah tentu, buku ilmiah ini akan menuntut pergerakan pemikiran kita ke arah laluan kebenaran.

Dengan pengetahuan, seseorang Muslim tidak akan tertipu. Buku-buku ilmiah boleh juga kita dapati daripada ulasan-ulasan buku di majalah, akhbar. Ringkasnya, hubungan orang Islam dengan buku itu wajib ada.

Sekiranya, tiada buku dijumpai, maka al-Banna menyeru kita pergi mencari guru, ustaz yang menyampaikan ilmu, ceramah agama tempat terbitnya segala buah fikiran baru.

Selanjutnya sumber-sumber ilmu lain selepas itu ialah usrah atau perkumpulan kecil yang selalu membanyakkan ucapan-ucapan yang baik didengar. Diskusi perkumpulan kecil ini juga perlulah dihadiri oleh seseorang Muslim yang beriltizam dengan agamanya.

Dan, seterusnya Imam Hasan al-Banna berpesan kepada kita agar mengamalkan zikir dan beriltizam menghabiskan ratib-ratib yang kita mahu amalkan. Paling mudah seseorang itu boleh mengamalkan wirid al-Mathurat, Wazifah as-Sughra jika tiada kesempatan.

Dengan amalan wirid wazifah al-Kubra dan as-Sughra inilah seseorang itu akhirnya akan menggunakan masanya untuk membuat hal-hal kebaikan secara tak langsung.

Lalu, dengan cara membaca al-Quran, memperuntukkan masa untuk membaca buku atau berzikir, maka sepenuh kehidupannya terisi dengan waktu-waktu yang indah serta masa yang berfaedah. Lalu, terelaklah beliau menggunakan waktunya ke arah keburukan.

Kesimpulan

Maka, hendaklah setiap umat Islam itu membaca al-Quran. Tidak cuma membaca. Yang paling penting ialah mereka mesti cuba memerhati pesanan Tuhan di dalamnya.

Jangan dibiarkan hati mereka selalu kering dan akhirnya mati. Basahkan dengan sejumlah wirid, ratib-ratib dan zikrullah yang biasa diamalkannya. Hati yang sentiasa ada pertalian dengan Tuhan akan sentiasa bersimbah ilmu, ilham dan pengetahuan yang baru.

Carilah ilmu walaupun sedikit. Masa yang terluang dengan tujuan yang tidak munasabah hendaklah kita sifarkan sama sekali. Hidup seorang Muslim itu sentiasa penuh dan padat dengan hal-hal yang berguna kepada diri dan masyarakat sekitarnya.

Al-Quran itu adalah induk samudera ilmu. Akar pengetahuan dan ranting hidayah kepada kita semua. Bacalah al-Quran, kelak ia menjadi pendinding kepada segala permasalahan dan ia akan berbicara kepada kita.

Sampai kepada suatu saat, al-Quran akan menjadi suara yang akan berbicara kepada jiwa kita dengan syarat kita memahaminya betul-betul mengikut nahu bahasa Arab.

Lazimkanlah diri membaca, menghafal dan yang paling utama, menghayati, merenungi setiap inci perkataannya dan lihat arahan Tuhan. Lazimi lidah kita dengan berzikir atau hati kita mesti ikut berzikir. Ketenteraman dan kedamaian akan menyelimuti kita.

Tuesday, February 17, 2009

Antara Paksa & Rela - Ulasan Isu Semasa

Kecoh benar akhbar hari ini dengan cerita ADUN Bukit Lanjan yang juga Exco Kerajaan PR Selangor yang gambar beliau sedang tidur tersebar luas. ADUN dari PKR yang khabarnya masih bujang itu telah bertindak membuat laporan Polis dan mendakwa gambarnya telah dirakamkan secara curi dengan menggunakan telefon bimbit. Katanya lagi tindakan ini adalah tindakan tidak bermoral dan berunsur penganiayaan terhadap dirinya dan merupakan pencerobohan terhadap hak peribadinya.


Lebih menghairankan ada pihak yang menggesa YB Elizabeth Wong supaya segera meletakkan jawatan kerana maruah yang sudah tercalar ; sedangkan pihak yang membuat gesaan tersebut pernah suatu ketika dahulu di dakwa dan dibuat laporan polis ke atasnya kerana berpuluh kes rasuah. Walaupun pelbagai pihak mendesak supaya dia meletakkan jawatannya, haram tidak dipedulinya desakan tersebut, tiba-tiba sibuk pulak dia mendesak orang lain meletak jawatan.


Saya tak pasti apakah agama yang menjadi anutan YB ADUN Bukit Lanjan, namun daripada namanya saya pasti dia bukan seorang Muslim. Saya juga sangat pasti bahawa tidak ada satu agama pun di muka bumi ini yang membenarkan perbuatan merakam gambar bogel seorang wanita ataupun lelaki yang sedang tidur kemudiannya disebarkan secara meluas kepada umum. Ini adalah perbuatan keji lagi terkutuk.


Yang sangat menyedihkan saya ialah apa yang telah didedahkan oleh akhbar pada hari ini terutamanua akhbar KOSMO yang melaporkan perlakuan seks antara sepasang kekasih Melayu Muslim yang sedang kemaruk cinta. Aksi zina mereka dilakukan di sebuah pusat X-ray dan dirakam dengan alat perakam kononnya sebagai bukti cinta antara mereka. Masing-masing buka seluar dan selak kain dengan sukacitanya dan melakukan perbuatan zina tersebut dengan tanpa rasa segan silu.


Beza antara dua cerita panas ini adalah gambar bogel YB Elizabeth di rakam secara sedangkan aksi pasangan melayu muslim pula adalah dengan paksa dan tanpa sedarrela dan redha.Perbezaan berikutnya pula, YB Elizabeth adalah tidak muslim sedangkan pasangan kekasih melayu tadi adalah muslim.


Saya sangat bersetuju dengan saranan YB Sdr Salahudin Ayub supaya kes YB Bukit Lanjan disiasat secara adil dan telus sementelah dalam kes pasangan zina melayu ini pula, jika cukup bukti; maka menjadi kewajipan pemerintah melaksanakan hukuman Allah ketas mereka. Hukum hudud tidak terkena ke atas YB Bukit Lanjan atas alasan yang paling kuat bahawa dia bukan muslim. Namun atas pasangan zina tadi, maka wajib disebat seratus rotan jika belum berkahwin dan jika sudah berkahwin maka wajib direjam hingga mati.


Jika pemerintah Islam Hadhari tidak melaksanakan hukum ini keatas pasangan zina tadi, maka sahlah Islam Hadhari anutan pemerintah negara kita ini sesat dan terseleweng dari agama Allah yang benar. Entah kitab mana yang diikut mazhab Hadhari ini hendaklah kita pastikan betul-betul. Jika Al Quran dan As Sunnah pegangan mazhab baru ini, maka sudah tentulah seperti di ataslah hukumannya.


Al ‘Iz ibn Abdissalam pernah berkata di dalam kitab al Qawa’id dan Muamalat al Hukkam :


“Pemimpin dan pemerintah yang adil mendapat ganjaran yang sangat besar jika dibandingkan dengan semua makhluk berdasarkan pendapat yang disepakati oleh majoriti umat Islam, kerana mereka memikul bebanan menjaga kebaikan sejagat dan membenteras kerosakan yang menyeluruh”


Katanya lagi :


“Ganjaran pemimpin tertinggi melebihi ganjaran mufti dan qadhi, kerana manafaat yang diperoleh dan kemudaratan yang dihindari lebih sempurna dan menyeluruh”


Begitulah sebaliknya....



Wasiat Pertama Asy Syahid Imam Hasan Al Banna 'alaihi rahmatullah

"Apabila mendengar azan bangun serta-merta walau dalam keadaan bagaimana sekali pun," kata asy-Syahid Imam Hasan al-Banna lewat wasiatnya yang pertama.

Di dalam 10 wasiat asy-Syahid Imam Hasan al-Banna, beliau mengingatkan ikhwan berhubung solat. Solat terletak di tempat yang pertama, mengatasi segala yang lain.

Hal ini sesuai sekali dengan kisah bagaimana pendirian baginda Rasulullah s.a.w tentang solat. Solat adalah antara ucapan terakhir yang kerap disebut oleh baginda menjelang hari terakhir kewafatannya.

"Apabila mendengar azan bangunlah serta-merta walau bagaimana keadaan sekalipun," demikian pesan al-Banna. Kenapa sang mujaddid ini meletakkan ungkapan sebegitu?

Solat adalah benteng yang mengeluarkan manusia daripada garis-garis kesesatan. Dalam solat itu, terkandung kewajipan membaca surah al-Fatihah dan dalam surah itu kita telah diwajibkan untuk membaca doa ihdina as-Siratal Mustaqim.

"Berilah kami petunjuk ke arah jalan yang diluruskan," itulah doa teragung yang wujud di dalam surah tersebut. Maka, jika manusia tidak menunaikan solat, mereka akan terhalang daripada rahmat Tuhan dan terdedah kepada jalan-jalan kesesatan.

Iblis akan menipu manusia melalui bisikan kata-kata bahawa kedudukan mereka itu telah tinggi dan mencapai kedudukan tertentu. Lalu, mereka tidak perlu lagi menunaikan solat. Helah ini berguna untuk memusnahkan jiwa manusia.

Dengan sikap enggan menunaikan solat itu tadi, manusia akan semakin mudah disesatkan kerana lidah mereka terasa asing daripada menyebut doa, "Berilah kami petunjuk ke arah jalan yang diluruskan."

Solat inilah satu-satunya amalan yang perlu dilakukan setiap hari bertujuan agar manusia itu sentiasa terjalin hubungannya dengan Tuhan setiap masa.

Ada amalan yang dibuat setahun sekali seperti berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan menunaikan fardhu haji sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Dunia tidak sunyi daripada solat

Dengan peredaran matahari dan bulan, dunia kita ini tidak pernah sunyi daripada laungan azan yang menyeru manusia agar bingkas menunaikan solat.

Ertinya, dunia ini akan sentiasa bergema dengan kalimah Tauhid. Dengan sebab itu, siapa yang bersolat, maka dia telah menegakkan Islam di dalam dirinya dan negaranya.

Sabda Rasulullah s.a.w, "Solat itu tiang agama. Sesiapa yang menunaikan solat, maka dia menegakkan tiang agama. Dan sesiapa yang yang tidak menunaikan solat bererti dia telah meruntuhkan agamanya."

Dengan menunaikan solat, jiwa terasa tenang, hati terasa lapang. Hati terang, tenang serta jiwa yang lapang inilah yang menumbuhkan kekuatan jiwa dalam diri seseorang Muslim itu untuk terus hidup dalam keimanan dan ketaqwaan. Sebaik-baiknya solat itu perlu segera ditunaikan pada awal waktu, pada ketika mendengar azan. Menurut Hasan al-Banna, solat itu hendaklah diusahakan semampu yang terdaya. Ini membuktikan kesungguhan kita.

Hasan al-Banna mengaitkan azan dengan solat dalam wasiatnya yang pertama ini. Di situ ada sumber kejayaan. Di situ ada sumber pertolongan. Di situlah akar taufik. Perhatikan juga, banyak perintah dalam al-Quran dimulakan dengan menyebut solat di awalnya.

Perhatikan bagaimana Tuhan mensyariatkan solat. Solat juga di medan perang. Walaupun pada saat genting, darurat dan kecemasan.

sumber : harakahdaily.net


Meniti Kehidupan Yang Penuh Ranjau

Salam Islah,


Meniti kehidupan sebagai seorang hamba kepada Khaliq yang Maha Pencipta bukanlah satu perjalanan yang mudah. Penuh ranjau, onak dan duri serta musuh yang tidak pernah jemu untuk menyesatkan dan merosakkan keikhlasan ubudiyah kepada Allah SWT. Mungkin kerana susah dan payah itulah yang menjadikan jalan Allah yang ditempuh para salikin ini adalah jalan yang sangat mulia dan hebat di sisi Allah SWT. Ganjarannya bukan main hebat lagi. Memang ganjaran susah payah dan jerit perih kehidupan itu selalunya manis dan puas.


Allah SWT menjanjikan syurga bagi hamba yang bertaqwa, sedangkan taqwa adalah sepayah-payah jalan yang perlu dilalui sang hamba. Bukan sedikit bekalan dan persediaan yang perlu dibuat. Bukannya senang usaha yang mesti dijalankan untuk meraih tittle muttaqin. Namun susah payah itu di akhirnya adalah syurga.


Firman Allah SWT :


“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur; Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya; Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman; Mereka tidak mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta; Sebagai balasan dari Tuhanmu, aitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya)” Surah An Naba’ : 31-36


SYAITAN


Firman Allah SWT dalam Surah Yasin ayat 60 yang bermaksud :


"Bukankah Aku telah perintahkan kamu Wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu”.


Inilah perintah Allah kepada sekelian hambanya agar menjuhi jejak langkah Syaitan, berhati-hati dengan tipudayanya serta menjadikan ia musuh yang hakiki. Dalam sibuk berjuang dan berjihad memerangi sekalian musuh Islam jangan sampai dibiarkan Syaitan menguasai diri. Lalu yang betul hanya kita, orang lain salah belaka. Ataupun segala yang diputuskan pimpinan kita adalah tidak tepat belaka dan tidak waqi’ie, hanya pandangan kita yang sesuai dengan kehendak zaman. Sedangkan pendapat kita adalah pendapat yang ‘berseorangan’ , sedang pandangan pimpinan adalah pandangan ‘ramai’ dan bersifat sunnah kerana diputus secara jamaah.


Minhaj al Abidin telah merakamkan luahan mutiara ilmu Hujjatul Islam Al Ghazali rahimahullah bahawa : “ Hendaklah kamu memerangi syaitan kerana dua perkara. Pertama, kerana ia musuh yang nyata lagi jelas dan yang kedua kerana ia diciptakan untuk bermusuhan denganmu”.


Kata Yahya bin Mu’az al Razi pula : “ Syaitan mempunyai masa lapang sedangkan kamu sentiasa sibuk. Dia melihat kamu sedangkan kamu tidak melihat dia. Kamu lupa kepadanya sedangkan dia tidak lupa kepadamu. Dan nafsumu membantu syaitan. Justeru semestinya kamu memerangi syaitan, jika tidak nescaya kamu binasa”.


Jika diperhatikan kepada pesanan dan peringatan para ulama’ amilin di atas, jelas lagi terang bahawa seolah-olah tiada jalan untuk melepaskan diri dari godaan syaitan yang sentiasa berusaha tanpa jemu menyesatkan anak Adam. Kerana itu kita dapati bahawa begitu banyak sekali manusia yang berjaya dirosakkan syaitan dan hanya sedikit yang berjaya lolos dari godaannya dengan rahmat Allah.


Al ‘Allamah Syeikh Dr Said Ramadhan Al Buthi hafizahullah telah menjelaskan di dalam syarah Hikam Ibnu ‘Athaillahnya bahawa persoalan yang sering timbul di dalam dada setiap Mukmin ialah kenapa Allah SWT mengizinkan Syaitan merosakkan dan menyesatkan sedang dalam masa yang sama kita diperintahkan untuk taat dan patuh. Kenapa kita senantiasa dihambat dosa dan keingkaran kepada ‘titah’ Allah SWT sedangkan kita diwajibkan taat kepada Allah. Maka dijawab oleh beliau bahawa demikianlah Allah mendidik hambaNya agar kembali kepada Allah SWT jika ingin selamat dari Syaitan. Hanya Allah yang dapat memberikan kekuatan untuk taat dan ibadah dan hanya Allah yang dapat menyelamatkan dari hasutan Syaitan. Hanya Llah juga yang dapat menunjukkan jalan bagaimana untuk selamat dari kesesatan ciptaan Syaitan.


Firman Allah dalam surah Yasin ayat 61 & 62 yang bermaksud :


"Dan (aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; Inilah jalan yang lurus. "Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?”.


Fatwa Jabhah Ulama' Al Azhar - Haram Berdamai Dengan Israel Selamanya

Komiti Fatwa Al Azhar menyatakan bahwa perdamaian dengan Israel--sebagaimana yang dinginkan oleh orang-orang yang menyeru kepada hal tersebut--tidak diperbolehkan secara hukum syara'.

Pada hari Minggu, 18 Jumadal Ula 1375 H/Januari 1956 M, Komite Fatwa Al-Azhar mengadakan pertemuan khusus yang diikuti oleh anggota dewan ulama-ulama senior Al-Azhar dan dipimpin oleh Prof. Sheikh Mohammed Hassanein Makhlouf, salah seorang ulama senior Al-Azhar, yang juga mantan mufti Mesir. Pertemuan itu dihadiri oleh Syaikh Isa Manun, Dekan Fakultas Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Direktur Lembaga Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdullathif As-Subki, Direktur Tim Inspeksi di Universitas Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Sekjen Komite Fatwa.Telah dipertimbangakan pertanyaan di bawah ini dan dikeluarkan fatwa sebagai berikut:

Bismillahirrahmanirrahim Segala puji bagi Allah Swt, Shalawat dan salam semoga dihaturkan kepada penghulu para nabi Muhammad Saw, dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya.

Komite Fatwa Al-Azhar Asy-Ayarif telah memperhatikan beberpa pertanyaan tentang pandangan Syariat Islam seputar hukum berdamai dengan Israel yang telah merampas tanah Palestina, kemudian mengusir penduduknya, membantai para wanita, anak-anak, orang tua dan pemuda, merampas harta benda mereka dan melakukan perbuatan-perbuatan keji di tempat-tempat ibadah dan tempat suci kaum muslimin.Juga tentang hukum saling mencintai dan tolong menolong dengan negeri-negeri penjajah yang membantu Yahudi dalam agresinya, membantu mereka dengan sokongan politik dan materi untuk mendirikan negara Yahudi di jantung kawasan negara-negara Islam.

Dan juga tentang hukum bersekutu yang digembar-gemborkan negara-negara kolonial yang tujuannya tidak lain agar Yahudi tetap eksis di tanah Palestina, guna memudahkan mereka menjalankan misi kolonialisme.Dan juga tentang kewajiban kaum muslimin terhadap tanah Palestina dan upaya mengembalikan rakyat Palestina yang terusir dari negeri mereka, serta kewajiban kaum muslimin terhadap proyek Israel memperluas tanah jajahannya dan upaya mereka untuk menarik orang Yahudi di manca negara untuk bermukim di Palestina, yang tentunya akan memperkokoh keberadaan dan kekuatannya serta menjadi ancaman bagi negara-negara disekelilingnya.

Komite Fatwa menyatakan bahwa perdamaian dengan Israel--sebagaimana yang dinginkan oleh orang-orang yang menyeru kepada hal tersebut--tidak diperbolehkan secara hukum syara', karena di dalamnya terdapat pembenaran terhadap penjajah untuk meneruskan upaya penjajahannya, pengakuan keberhakannya terhadap tanah jajahannya, dan dukungan kepada mereka untuk meneruskan agresinya. Padahal semua agama samawi dan agama-agama non samawi sepakat mengharamkan penjajahan dan mewajibkan dikembalikannya tanah jajahan kepada pemiliknya.

Komite juga menyerukan kepada pemilik hak (rakyat Palestina, penj-) untuk membela dan merebut haknya. Karena di dalam Hadits ditegaskan, "Barang siapa yang terbunuh karena membela kehormatannya maka ia syahid." Dalam Hadits lain, "Bagi tangan (pemilik) apa yang diambilnya (dimilikinya) sampai dikembalikan."Maka tidak boleh bagi kaum muslimin untuk upaya damai dengan Yahudi—yang merampas tanah Palestina, menzalimi rakyatnya dan mengambil secara paksa harta benda mereka—upaya yang mengokohkan Yahudi untuk tetap tinggal di tanah Palestina dan mendirikan sebuah negara di atas tanah suci negeri Islam ini. Bahkan wajib bagi kaum muslimin semuanya untuk saling membantu—tanpa memandang suku, bangsa, perbedaan bahasa dan warna kulit—untuk mengembalikan rakyat Palestina ke negeri mereka, menjaga kesucian masjid Al-Aqsha yang merupakan tempat turunnya wahyu, tempat shalatnya para nabi yang diberkahi oleh Allah Swt, dan menjaga peninggalan-peninggalan sejarah Islam dari tangan para penjajah.

Wajib juga bagi mereka untuk menolong para mujahidin dengan senjata dan kekuatan untuk berjihad, dan hendaknya mereka mengeluarkan segala kemampuan yang dimiliki untuk mensucikan negeri Islam dari tangan penjajah yang zalim.

Allah Swt berfirman:

"Dan persiapkanlah bagi mereka (musuh-musuh Allah) kekuatan, apa saja yang engkau bisa, dan dari kuda-kuda perang yang ditambat, yang dengannya engkau membuat gentar musuh Allah dan musuh kalian..." (At-Anfal: 60)

Barang siapa yang tidak mendukung hal ini atau mengabaikannya atau mencela kaum muslimin karenanya, atau mengajak kepada hal-hal yang dapat memecah belah persatuan kaum muslimin, dan mendukkung usaha-usaha negara-negara penjajah dan Zeonis untuk merealisasikan rencana mereka terhadap negara-begara Arab dan Islam, terutama negara Palestina ini, maka dia dalam hukum Islam telah keluar dari Jama'atul Muslimin dan telah melakukan dosa yang besar.

Bagaimana tidak, semua orang tahu bahwa Yahudi selalu berbuat makar terhadap Islam, kaum muslimin dan negara-negara Islam, sejak dari zaman kenabian sampai sekarang, dan bahwasanya mereka tidak cukup sekedar menzalimi rakyat palestina dan mengotori Masjid Al-Aqsha saja, melainkan, rencana besar mereka adalah menguasai seluruh wilayah negara-begara Islam yang berada di antara sungai Nil dan Eufrat. Maka wajib bagi kaum Muslimin untuk menyatukan kata guna menghilangkan bahaya besar ini, membela negeri-negeri Islam dan menyelamatkannya dari tangan-tangan penjajah.

Allah Swt berfirman:

"Dan berpegang teguhlan kamu sekalian pada tali Allah dan janganlah berpecah belah..." (Ali Imran: 103)

Adapun bekerjasama dengan negara-negara yang membantu ekstrimis zalim ini dengan materi dan persenjataan sehingga tetap eksis di tanah kaum musllimin, hal itu tidak diperbolehkan menurut syara’, karena merupakan upaya saling bantu-membantu dalam kezaliman dan mendukung mereka dalam permusuhannya terhadap Islam dan negeri-negeri Islam.

Allah Swt berfirman:

“Sesungguhnya Allah hanya melarang kalian menjadikan teman orang-orang yang memerangi kalian dan mengeluarkan kamu dari negerimu sendiri serta orang-orang yang membantu orang lain untuk mengusir kamu. Barang siapa yang mendukung mereka, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al-Mumtahanah: 9)

Dalam ayat lain Allah berfirman:

“Tidak akan engkau temukan suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhir yang mencintai orang-orang yang melawan Allah dan Rasulnya, walau mereka adalah bapak, anak, saudara dan keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah ditetapkan oleh Allah iman dalam hatinya dan menguatkannya dengan pertolongan dari pada-Nya, dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah ridha kepada mereka dan merekapu ridha kepada-Nya. Mereka itulah golongan Allah, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Al-Mujadalah: 22)

Tidak diragukan lagi bahwa mendukung musuh dan mencintai mereka sama dengan membantu mereka dengan sesuatu yang dapat menguatkan posisi mereka baik dengan pikiran, senjata dan kekuatan, baik secara tersembunyi atau terang-terangan, langsung atau tidak langsung, semua itu diharamkan bagi setiap muslim apapun alasannya.

eramuslim.com